Saturday, August 7, 2010

INFO PSS (SENARAI PENYUMBANG)

Pada Tahun 2010 , pss Sk Parit Kemang telah menerima sejumlah buku yang telah disumbangkan oleh bekas pelajar yang telah  menjawat jawatan sebagai pengurus di Bank Negara Malaysia....sila tatapi email yang beliau kirim.

Nama: Hairi bin Adam

Tarikh lahir: 29 September 1975

Belajar di SKPK: 1982 – 1987

Pekerjaan: Pengurus, Bank Negara Malaysia


Pesanan Buat Anak-anak SKPK

Saya harap sumbangan yang tak seberapa ini dapat memberi dorongan buat anak-anak untuk meneruskan minat membaca. Saya sentiasa berpendapat, tidak ada jalan mudah untuk berjaya dalam pelajaran, selain daripada banyakkan membaca. Dan sebagai anak-anak kampung seperti saya dan anda sekalian, kita tidak ada banyak pilihan untuk berjaya dalam hidup, selain daripada pelajaran yang cemerlang. Jadi, untuk hidup berjaya, pelajaran perlu cemerlang, dan pelajaran yang cemerlang itu diraih dengan banyakkan membaca. Segalanya bermula dengan membaca. Membacalah sebanyak-banyaknya dengan rasa riang dan gembira.



Saya dan anda pasti tidak mampu ke bulan, tapi kita mungkin boleh membayangkan pengembaraan ke bulan dengan membaca. Lebih dari itu, kita mungkin leka mendengar ceramah oleh Ustaz di surau tentang harum dan indahnya syurga, yang luas dan bertingkat-tingkat saujana mata memandang, di bawahnya pula mengalir anak-anak sungai yang jernih. Persoalannya, pernahkah Ustaz itu ke syurga? Sama sekali tidak, Ustaz itu hanya membaca Al-Quran dan hadith. Yang dibacanya, diceritakan semula. Kita yang mendengar akan ternganga, sambil membayangkan keindahan syurga. Begitulah hebatnya peranan membaca. Seperti yang saya katakan tadi “membacalah sebanyak-banyaknya dengan rasa riang dan gembira”. Hidup kita akan lebih ceria dan bermakna, selagi yang dibaca itu yang baik dan berguna.

Selagi Allah melimpahkan rezekiNya kepada saya, selama itulah sumbangan ini akan diteruskan, tidak kiralah sekecil mana jumlahnya. Saya doakan kejayaan anak-anak SKPK. Semoga kita mencapai bahagia dunia dan akhirat.

Wassalam.



Kaunter PSS

No comments:

Post a Comment